Pada post kali ini, saya akan membicarakan tentang konflik. Apa itu konflik, ciri-ciri, sebab-sebab, cara-cara untuk mengatasi dan kesan konflik akan dibincangkan secara mudah.
Istilah 'konflik' berasal daripada perkataan Latin iaitu 'confligere' yang bermaksud pertembungan bersama. Morton Deutsch ( 1993 ), mentakrifkan konflik sebagai keadaan tingkah laku yang tidak sepadan dengan kepelbagaian. Jadi, konflik secara mudahnya bermaksud pertembungan antara dua atau lebih mutu yang berbeza dalam memperolehi sesuatu dalam hidup.
Konflik sebenarnya wujud semula jadi dalam hidup manusia. Keadaan tersebut akan berlaku luar sedar atau dalam sedar. Konflik juga juga saling berkaitan antara keperluan dengan gaya. Selain itu, keadaan tersebut juga mampu memberi kesan baik atau buruk. Akhir sekali, konflik juga dipandang sebagai perselisihan yang samar antara dua atau lebih pihak.Sebab-sebab utama konflik wujud ialah : perbezaan, kepincangan kawalan diri, kehampaan diri, gangguan, sudut pandangan dan pergantungan. Baiklah, mari saya terangkan contoh untuk setiap sebab tadi.
- Perbezaan
Perbezaan tingkah laku, pemahaman dan matlamat dikenal pasti sebagai sebab pencetus konflik. Perbezaan ini wujud kerana setiap orang mempunyai latar belakang, pengalaman, proses hubungan antara manusia yang tersendiri. Sebagai contoh, remaja perempuan cenderung untuk membeli majalah hiburan dan kecantikan berbanding remaja lelaki yang lebih suka akan aktiviti lasak dan membeli majalah permotoran.
- Kepincangan kawalan diri ( samada daripada dalaman atau luaran )
Mengapa terdapat orang yang mampu menghadapi konflik secara tenang dan ada juga yang bersifat sebaliknya ? Pengawalan diri dalaman atau luaran amat penting sebenarnya. Remaja yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi akan mudah menyelesaikan masalah berbanding remaja yang tidak berkeyakinan langsung dalam diri. Kepincangan kawalan diri luaran berlaku apabila seseorang tersebut terkesan akibat tekanan persekitaran contohnya takdir, kekangan sosial, dan pelbagai lagi. Menurut Stone dan Jackson ( 1975 ), kepincangan kawalan diri luaran berlaku apabila terjadi perubahan akibat pengaruh yang tidak kita mampu kawal seperti takdir, peluang, kekuasaan pihak lain, kekangan sosial ataupun arahan.
- Kehampaan diri
Zaman remaja adalah zaman mencari makna dan identiti diri. Setiap remaja memiliki keunikan diri yang berbeza tetapi keunikan diri mereka akan menjurus kepada kehampaan terhadap diri sendiri apabila pengalaman hidup mereka tidak mengajar mereka untuk mencari lalu memiliki rasa hormat diri yang tinggi. Sepatutnya kita diasuh untuk menghormati diri kita sendiri sejak kecil lagi agar kita menghargai keunikan diri sendiri, tidak malu untuk berhubungan dalam masyarakat dan berani muncul di hadapan khalayak ramai.
- Gangguan
Gangguan melalui fizikal dan mental menimbulkan konflik terhadap diri seseorang lalu mangsa akan berasa terasing. Sebagai contoh, kes buli yang sudah menjadi kelaziman di sekolah-sekolah mahupun tempat kerja akan mengancam ketenangan setiap orang.
Sudut pandangan ( perception )
Kebanyakan remaja tahu bahawa merokok itu tidak baik untuk kesihatan tetapi apabila wujudnya sudut pandangan kumpulan yang menunjukkan merokok itu adalah sesuatu yang biasa atau hebat, seseorang itu akan berhadapan dengan konflik.
- Pergantungan
Pergantungan membuatkan remaja memerlukan rakan-rakannya walaupun kelompok tersebut menunjukkan tingkah laku yang buruk seperti melakukan keganasan, fenomena vandalisme, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Seseorang yang tidak mengikuti kebiasaan dalam satu kumpulan akan ditolak lalu hal ini akan mewujudkan konflik antara orang itu dengan kumpulan tersebut.
Tindak balas lazim apabila kita berhadapan dengan konflik adalah agresif, pasif dan asertif.
- Agresif
Seseorang yang selalu bersifat agresif, apabila wujudnya satu konflik, dia akan cuba membuat keputusan untuk rakan lain. Dia juga sanggup menyalahkan orang lain demi kepentingan diri sendiri selain daripada mengambil kesempatan atas nama persahabatan. Semasa perbincangan atau di mana-mana sahaja, dia akan meninggikan nada suara untuk menarik perhatian orang lain. Ia bertujuan menimbulkan persepsi kepada masyarakat bahawa dia adalah seorang yang berani sedangkan tingkah laku sebegini hanya menandakan dia sebenarnya seorang yang takut akan pengabaian. Istilah yang selalu dikaitkan dengan sikap begini ialah kasar, gelojoh, kuat dan hilang arah.
- Pasif
Sikap pasif ini adalah sikap yang bertentangan dengan sikap agresif. Dia sering menyalahkan diri sendiri apabila berlakunya konflik, tidak tegas dengan pendirian dan sanggup menyetujui sebarang keputusan dalam satu kelompok walaupun dia tidak bersetuju sebenarnya. Istilah yang sesuai untuk sikap ini adalah lemah, tiada keyakinan diri dan selalu menjadi mangsa keadaan.
- Asertif
Sikap sebegini merupakan pertengahan antara agresif dan pasif. Sikap sebeginilah yang dimahukan dalam membentuk konsep diri yang ideal supaya setiap orang dapat mengekalkan keyakinan diri berada pada tahap bersesuaian. Dia menganggap semua orang berkebolehan, cuma samada terserlah ataupun tidak. Karisma yang ditunjukkan sikap ini mampu mengelokkan keadaan yang kucar-kacir akibat suatu konflik. Memandangkan sikap sebegini memerlukan masa yang panjang, pengalaman yang berharga dan pemikiran yang adil serta kematangan yang lazim, jadi tidak ramai orang boleh bersikap sebegini, lebih-lebih lagi apabila berada dalam keadaan konflik yang getir. Istilah yang sesuai, adil, berkaliber, matang dan tenang.
Berikut adalah strategi menghadapi konflik dan huraian :
- Bersaing
Semasa menghadapi konflik, sesetengah remaja sangat mementingkan diri sendiri dan kurang mementingkan orang lain. Dia akan memastikan bahawa dialah yang paling banyak mendapat faedah daripada satu keputusan yang dicapai.
- Berkerjasama
Bagi kelompok remaja sebegini pula, mereka akan mementingkan setiap orang. Apabila berlaku konflik, mereka ingin semua orang memperoleh hak dan kesan yang sama tidak kira samada kesan itu menguntungkan atau merugikan.
- Menghindari
Remaja ini tidak menghiraukan langsung konflik yang wujud. Mereka lebih suka membiarkan masa menjadi penentu titik tolak jalan penyelesaian masalah yang hadir. Mereka lebih suka menggunakan istilah 'bersabar' sedangkan bersabar dalam cara yang sebetulnya adalah bersabar dalam menyelesaikan masalah, bukannya membiarkan masalah itu berlarutan. Sikap lari daripada masalah ini hanya akan memburukkan lagi keadaan pada masa akan datang.
Kesan baik buruk konflik :
Sebagaimana yang digarapkan oleh Aristotle, dunia ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu baik dan buruk. Konsep ini sama dengan falsafah Yin Yang dan sering berpadanan dalam kehidupan seharian. Baik-buruk, putih-hitam, lelaki-perempuan, suci-kotor dan pelbagai lagi menjadi isi kehidupan ini.
Kesan baik :
- Menghasilkan individu yang lebih berkemandirian
- Masalah yang sama pada masa depan akan dapat diatasi dengan mudah
- Membina hubungan yang lebih baik antara semua pihak
Kesan buruk :
- Menghasilkan individu yang lemah
- Masalah yang sama menjadi satu sumber trauma
- Hubungan yang tidak elok antara semua pihak
Jadi, selepas penerangan kali ini, saya berharap kita akan dapat membincangkan bersama-sama sebarang masalah yang hadir dalam kehidupan seharian kita. Anggaplah laman blog saya ini sebagai tempat berkongsi pandangan agar pelbagai masalah dapat diatasi melalui pendekatan yang pelbagai.
Salam muhibah.
